Type something and hit enter

Pages

By On
TaraHap - Pokok Kelapa (Cocos nucifera L.) adalah ahli keluarga Arecaceae (keluarga palma). Ia merupakan spesies tunggal yang dikelaskan dalam genus Cocos dan merupakan pokok palma yang besar.

3 Jenis Kelapa Yang Ada Di Malaysia

Kelapa atau yang lebih dikenali sebagai nyiur adalah tumbuhan saka, tempoh ekonomi adalah melebihi 25 tahun.

Pokok kelapa dapat tumbuh setinggi 30 meter, dengan pelepah daun pinnate sepanjang 4-6 meter, dengan helaian daun pinnae sepanjang 60-90 cm; pelepah tua luruh meninggalkan batang pokok yang licin.

Makna perkataan kelapa (atau coconut, dalam bahasa Inggeris) boleh merujuk kepada pokok kelapa, biji, atau buah kelapa, yang secara botani adalah pokok berbuah, bukan pokok kacang.

Istilah ini berasal dari kata-kata Portugis dan Sepanyol abad ke-16, coco yang bermaksud "kepala" atau "tengkorak".

Tumbuhan ini digunakan hampir semua bahagian oleh manusia jadi ia dianggap tumbuhan serba boleh, terutama bagi masyarakat pesisir. Kelapa juga merupakan nama buah yang dihasilkan oleh tumbuhan ini.

Kelapa dikenali dengan pelbagai kegunaannya, dari makanan ke kosmetik. Tumbuhan ini dianggap berasal dari pantai Lautan Hindi di sebelah Asia, tetapi kini telah tersebar luas di seluruh pantai tropika di Dunia.

Tanaman kelapa daripada keluarga Arecaceae merupakan jenis tanaman yang penting dibeberapa negara termasuk di Malaysia.

Indonesia merupakan negara yang paling luas menanam kelapa dengan keluasan melebihi 3.8 juta hektar diikuti dengan Filipina seluas 3.6 juta hektar.

Malaysia mendudukki tempat ke 10 sebagai pengeluar kelapa dunia dengan kapasiti sebanyak 670,000 biji setahun dengan kawasan tanaman kelapa seluas 85,700 hektar.

Kawasan utama tanaman kelapa adalah dipantai barat Semenanjung Malaysia seperti di Perak, Selangor dan Johor serta di Sabah dan Sarawak.

Melihat kepada situasi ini menunjukkan bahawa tanaman kelapa amat signifikan dengan kawasan berpulau-pulau yang dikelilingi dengan laut.

Penggunaan perkapita kelapa di Malaysia sekitar 17-18 biji seorang setahun dimana bekalan kelapa tempatan adalah tidak mencukupi untuk kegunaan kilang.

Malaysia mengimport sekitar 85 juta biji kelapa setahun daripada negara jiran. Kebanyakkan kelapa yang diimport tersebut adalah dari jenis kelapa tinggi dalam bentuk tuah kelapa tanpa sabut (Kelapa bulat).


Jenis Jenis Pokok Kelapa

1. Kelapa Jenis Tinggi

3 Jenis Kelapa Yang Ada Di Malaysia

Kelapa Jenis Tinggi (Tall Variety) merupakan jenis kelapa yang paling banyak ditanam semenjak dahulu kala kerana ia tahan lasak, hidup lama dan memberikan hasil yang memuaskan dengan kos pengurusan yang agak rendah.

Pokok kelapa ini mempunyai batang yang besar, tegap dengan bahagian pangkalnya membengkak seperti tapak gajah. Pokok ini mampu tumbuh menegak setinggi melebiji 30 meter dan tidak mudah tumbang.

Jarak tanaman disyorkan untuk kelapa tinggi biasanya 9 meter x 9 meter atau lebih jauh lagi kerana ia mempunyai kanopi pelepah daun yang jauh.

Jenis kelapa tinggi lazimnya akan mula berbuah selapas 6-7 tahun ditanam bergantung kepada cara pengurusan dan vatieti. Ia mampu menghasilkan diantara 6,000 - 7,000 biji buah kelapa sehektar jika dijaga dengan baik.

Buah kelapa tinggi biasanya besar berbentuk bulat atau lonjong bulat dengan sabutnya yang tebal atau sederhana tebal. Ini membolehkan buah kelapa tua yang jatuh atau gugur daripada tempat tinggi tidak akan pecah.

Kelapa tua sesuai untuk diambil isinya bagi dibuat pelbagai produk hasilan kelapa seperti santan, VCO, kerisek dan airnya.

Diantara beberapa kelapa tinggi yang ada di negara kita seperti Malayan Tall, Tagnanan, West African Tall, Rennel Tall Green, Rennel Tall Orange, Rennel Tall Gold, West Africal Tall dan beberapa lagi.

Dinegara lain terdapat banyak varieti kelapa tinggi tempatan seperti Samoan Tall dan sebagainya.


2. Kelapa Jenis Renek

3 Jenis Kelapa Yang Ada Di Malaysia

Kelapa Jenis Renek (Dwarf variety) merupakan jenis kelapa yang rendah dengan ketinggiannya kurang dari 25 meter.

Kelapa jenis ini mempunyai saiz batang yang kecil dan lurus daripada pangkal pokok sehingga keatasnya dan tidak mempunyai 'kaki gajah'.

Ia cepat berhasil jika ditanam dan dijaga dengan baik sekitar 2-3 tahun sahaja. Jarak penanamannya adalah dekap berbanding dengan kelapa tinggi iaitu sekitar 6.5 meter x 6 meter untuk memberikan kepadatan sekitar 270 pokok sehektar.

Pokok kelapa renek juga sering dijadikan tanaman landskap dikawasan taman riadah, tepi jalan utama, kawasan keliling rumah dan tempat awam.

Saiz buahnya kecil daripada saiz kelapa tinggi tetapi ia mudah dituai kerana pokoknya tidak tinggi. Buahnya berbentuk bulat atau lonjong bulat dengan sabut yang agak nipis dan isi yang sederhana tebalnya.

Terdapat beberapa warna kelapa renek yang ada di Malaysia seperti warna hijau, kuning, oren dan coklat dan sebagainya. Kadar penghasilan kelapa renek bergantung kepada pengurusan tanaman dan juga varieti tetapi lingkungan 7,000 - 8,000 biji sehektar.

Kadar hasil ini banyak kerana bilangan pokok kelapa renek yang ditanam dalam sehektar adalah lebih banyak daripada kelapa tinggi. 

Diantara beberapa varieti kelapa renek yang ada di negera kita seperti Malayan Red Dwarf (MRD), Malayan Yellow Dwarf (MYD), Malayan Green Dwarf (MGD), Malayan Brown Dwarf (MBD), Kelapa Tacunan dan paling popular adalah Kelapa Pandan.


3. Kelapa Jenis Hibrid

3 Jenis Kelapa Yang Ada Di Malaysia

Kelapa Jenis Hibrid (Hybrid coconut) pula merupakan jenis kelapa kacukan diantara kelapa tinggi dengan kelapa renek atau kelapa rendah.

Proses kacukan ini dilakukan secara manual atau semulajadi akan menghasilkan anakpokok hibrid yang mempunyai kombinasi diantara kedua ciri-ciri induknya yang dikehendakki.

Antara ciri ini seperti ia akan cepat berbuah, saiz buah yang besar dan banyak, isi buah berkualiti, ketahanan kepada penyakit dan sebagainya.

Walau ada kajian mengenai kacukan antara kelapa tinggi dengan kelapa tinggi lain dan kelepa renek dengan kelapa renek lain tetapi yang menjadi tumpuan adalah diantara kelapa tinggi dengan kelapa renek.

Penyediaan benih kelapa hibrid agak rumit kerana kelapa bersifat 'kacukan silang' yang mana akan menghasilkan kelapa hibrid. Buah kelapa dari pokok kelapa hibrid F1 tidak boleh digunakan untuk dijadikan benih tanaman kerana ia berkemungkinan tidak sebaik induknya akibat proses kacukan silang yang berlaku.

Dalam kes-kes seperti ini ramai pihak yang menjual benih F2 kelapa Matag didakwa sebagai benih hibrid kelapa Matag. Ini merupakan satu fenomena kerana kekurangan benih kelapa hibrid Matag dipasaran.

Kesalahan denda menjual benih kelapa bukan F1 mengikut undang-undang adalah sebanyak RM500,000 jika dibuktikan bersalah. Lazimnya kelapa hibrid sangat responsif terhadap pembajaan, amalan agronomi dan sebagainya.

Diantara beberapa kelapa hibrid yang ada di MAlaysia seperti Kelapa MATAG (Matag Green - CN13, Matag Orange - CN14 dan MATAG Gold - CN15) dan juga kelapa MAWA, MARREN, Sungai Gulang-Gulang (CN-16) dan beberapa lagi.

Varieti Kelapa hibrid masih dilakukan kajian untuk menghasilkan hibrid terbaik dimasa akan datang.


Asal Usul Kelapa

Asal pokok kelapa telah menjadi perbahasan dengan sesetengah pihak berkuasa mendakwa bahawa ia berasal dari semenanjung Asia Tenggara sementara yang lain pula mendakwa bahawa ia berasal di barat laut Amerika Selatan.

3 Jenis Kelapa Yang Ada Di Malaysia

Rekod fosil di New Zealand menunjukkan pokok kecil seperti kelapa tumbuh di situ semenjak 15 juta tahun dahulu. Fosil yang lebih tua telah dijumpai di Rajasthan, India.

Walau dari manapun asal pokok kelapa, ia telah tersebar disebahagian besar kawasan tropika, terutamanya sepanjang persisiran pantai.

Oleh kerana buah kelapa ringan dan timbul, pokok kelapa mudah tersebar oleh arus laut yang mampu membawa buah kelapa pada jarak yang jauh.

Pokok kelapa hidup subur di tanah berpasir, paya dengan banyak cahaya matahari dan hujan yang tetap (75-100 cm setahun), yang menjadikan koloni di pantai agak mudah.

Buah yang dikumpulkan dari laut jauh ke utara seperti Norway telah di dapati masih utuh dan mampu tumbuh setelah diberikan keadaan yang sesuai.

Bagaimanapun di Kepulauan Hawaii, pokok kelapa dianggap diperkenalkan oleh orang Polinesia, pertama diperkenalkan ke kepulauan oleh pelayar Polinesia dari tanah asal mereka di Pasifik Selatan.


Penanaman Pokok Kelapa

Buah kelapa tua dibiarkan bercambah dan ditanam di tapak tetap dan turut ditanam pindah sebagai pokok hiasan dalam lanskap.

Bagi kelapa yang tinggi ia selalunya lambat matang dan berbunga semasa usia 6-10 tahun. Kelapa tinggi boleh hidup sampai 100 tahun dan tahan lasak iaitu boleh tumbuh dalam pelbagai keadaan dan jenis tanah.

Bagi kelapa rendah, ia berbunga 3 tahun selepas ditanam dengan ketinggian tidak melebihi 1 meter. Kelapa rendah mungkin memberi hasil sehingga berusia 70 tahun.

Penyakit dan Perosak Kelapa
Pokoknya boleh dijangkiti penyakit yang disebabkan kulat, bakteria dan virus yang boleh menyebabkan paksi tengah pokok menjadi busuk, batang menjadi reput dan berdaun kuning.

Kulat juga boleh membunuh pokok kelapa. Perosak yang paling besar adalah kumbang badak dan kumbang hitam. Buah kelapa dimakan tupai dan di sesetengah tempat buahnya dimakan ketam kelapa.


Buah Kelapa

3 Jenis Kelapa Yang Ada Di Malaysia

Secara botani, buah kelapa merupakan "buah kering" yang dikenali sebagai pepauh (ataupun drup) bergentian (bukannya "kacang").

Mesokarpa terdiri daripada gentian yang dikenali sebagai sabut dan terdapat tempurung (endokarpa). Tempurung keras mempunyai tiga liang percambahan yang jelas kelihatan di permukaan luar apabila sabutnya dibuang.

Melalui salah satu darinya pucuk keluar apabila embrionya bercambah. Apabila dilihat dari satu bahagian, tempurung dan liang percambahan kelihatan seperti muka monyet yang merupakan istilah bahasa Portugis iaitu coco.


Kegunaan Kelapa

Kesemua bahagian pokok kelapa berguna kecuali kemungkinannya bahagian akar dan pokok kelapa mampu menghasilkan sehingga 75 biji kelapa setahun; dengan itu, ia mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Malah, nama pokok kelapa dalam bahasa Sanskrit adalah kalpa vriksha, yang diterjemahkan sebagai "pokok yang membekalkan semua keperluan kehidupan". Kegunaan pelbagai bahagian kelapa termasuk:


  • Batang kelapa boleh dibuat titi serta bahan pembinaan untuk rumah seperti papan, dinding dan lantai
  • Daun kelapa boleh dibuat pembalut makanan
  • Lidi kelapa boleh dibuat penyapu
  • Sabut kelapa boleh dibuat tali
  • Tempurung kelapa boleh diproses menjadi ubat nyamuk dan barangan kraftangan
  • Serbut sabut boleh dibuat bahan reput dan kompos dalam pertanian
  • Minyaknya sebagai minyak masak, minyak pelita dan sabun


Khasiat Buah Kelapa

Air daripada buah kelapa boleh diminum dan isi kelapa yang lembut boleh dimakan mentah. Kelapa muda juga dikukus, direbus atau dipanggang sebelum airnya diminum dan isinya dimakan.

Dalam masyarakat Melayu terutamanya, kelapa tua diproses untuk dijadikan kelapa parut, santan dan minyak masak seharian.


Varieti-varieti kelapa yang terdapat di Malaysia ialah:-


  1. Kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall )
  2. Kelapa Rendah Merah Malaya (Malayan Red Dwarf, MRD)
  3. Kelapa Rendah Kuning Malaya (Malayan Yellow Dwarf, MYD)
  4. Kelapa Rendah Hijau Malaya (Malayan Green Dwarf, MGD)
  5. Kelapa MAWA (Malayan Dwarf X West Afrcan Tall)
  6. Kelapa MATAG (MYD/MRD X Tagnanan Tall)
  7. Kelapa Tinggi Afrika Barat
  8. Kelapa Tinggi Tagnanan
  9. Kelapa Tinggi Rennel
  10. Kelapa Wangi (Aromatic Dwarf)
  11. Kelapa MAREN (MYD.MRD X Rennel Tall)
  12. Kelapa MAMA (MYD/MRD X Malayan Tall)

Click to comment